Cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak perlu dimansuhkan sebaliknya cukup sekiranya cukai itu diletakkan pada kadar sifar.

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana setiap peniaga dan syarikat telah mengaplikasi sistem GST dalam sistem akaun dan POS masing-masing (semua itu dengan kos).

"Jika pemansuhan dilakukan, mereka bakal menanggung kos tambahan untuk mengemaskini sistem dan akaun. Justeru, mengosongkan kadar adalah lebih mesra peniaga dan pengguna sekaligus," katanya menerusi posting di Facebooknya.

Beliau berpendapat, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak boleh diletakkan pada kadar lima atau 10 peratus tetapi perlu lebih rendah daripada lima peratus.

"Jika tidak, SST bakal menjadikan harga meningkat juga akhirnya kerana peniaga bakal menjadikannya alasan untuk menaikkan harga dengan SST dikira sebagai kos mereka. Akhirnya nanti menjadi formula yang rosak," katanya.


Menurutnya, kerajaan perlu segera membuat kira-kira unjuran kehilangan hasil negara dari sumber GST dan cara bagaimana pemotongan kos operasi kerajaan agar tidak negatif kelak.

"Atau mungkin, boleh kekalkan GST pada servis dan barangan mewah terlebih dahulu buat sementara waktu menstabilkan pendapatan kerajaan dan perbelanjaan.

"Ini kerana orang berstatus T20 mungkin jarang melihat resit pun ketika membeli. Ertinya, mereka tidak kisah sangat dan sanggup menanggungnya berbanding kumpulan M40 dan B40," katanya.